Rabu, 10 Februari 2016
UNDANG-UNDANG PERMAINAN SEPAKTAKRAW (Terbaru)
1. GELANGGANG
1.1 Luas gelanggang adalah 13.4 m x 6.1 m, bebas dari sebarang rintangan sehingga 8 m tinggi dari permukaan lantai gelanggang.
Lebar semua garisan gelanggang tidak melebihi 0.04 m diukur ke dalam dari penjuru ukuran gelanggang.
1.2 Garisan Tengah
Garisan tengah selebar 0.02 m membahagikan gelanggang kepada dua bahagian yang sama besar.
1.3 Garisan Suku Bulatan
Garisan Suku Bulatan hendaklah digaris dari garisan tepi ke garisan tengah berukuran jejari 0.9 m.
1.4 Bulatan Sepak Mula
Bulatan Sepak Mula berjejari 0.3 m hendaklah digariskan di tengah-tengah kiri dan kanan petak gelanggang, di mana hendaklah 2.45 m dari garisan belakang gelanggang dan 3.05 m dari garisan tepi gelanggang. Garisan 0.04 m lebar ini hendaklah diukur dan digaris menghala keluar dan jejarinya 0.3 m.
1.5 Kawasan Bebas
Gelanggang hendaklah bebas daripada halangan sejauh 3.0 m daripada tepi garisan.
1 - 14
Undang-Undang Permainan Sepaktakraw
Pindaan 18 September 2013.
2. TIANG
______________________________________________________________________________
2.1 Ketinggian tiang ialah 1.55 m (1.45 m untuk wanita) diukur dari permukaan gelanggang dan ianya hendaklah teguh dan kukuh untuk regangan jaring. Jejarinya tidak melebihi 0.04 m.
2.2 Kedudukan tiang-tiang hendaklah didirikan 0.3 m jaraknya dari garisan tepi dan sebaris dengan garisan tengah gelanggang.
3. JARING
______________________________________________________________________________
3.1 Jaring hendaklah diperbuat daripada nylon yang halus dan siratnya berukuran diantara 0.06 m hingga 0.08 m.
3.2 Lebar jaring adalah 0.7 m dan panjang jaring tidak kurang daripada 6.10 m dan selari dengan garisan tengah gelanggang.
3.3 Di kedua-dua hujung jaring dilekatkan pita 0.05 m sebagai sempadan dari atas ke bawah dan kedudukannya sebaris menegak dengan garisan tepi.
3.4 Di bahagian atas dan bawah jaring hendaklah dilapik dengan pita 0.05 m yang diperkuat dengan benang atau nylon. Pita berfungsi sebagai pengampu tali regangan di atas paras tiang.
3.5 Ketinggian jaring di bahagian tengah adalah 1.52 m untuk lelaki dan 1.42 m untuk wanita, manakala di bahagian tiang adalah 1.55 m untuk lelaki dan 1.45 m untuk wanita.
4. BOLA TAKRAW
__________________________________________________________________
Lelaki Wanita
2 – 14
Undang-Undang Permainan Sepaktakraw
Pindaan 18 September 2013.
4.1 Bola takraw berbentuk bulat dan ianya diperbuat daripada satu lapis fiber sintetik.
4.2 Bola takraw mestilah mempunyai ciri-ciri seperti berikut:-
4.2.1 mempunyai 12 lubang.
4.2.2 mempunyai 20 pertemuan silang.
4.2.3 ukuran garis lilitnya mestilah diantara 0.41 m hingga 0.43 m untuk pemain lelaki dan 0.42 m hingga 0.44 m untuk pemain wanita.
4.2.4 berat bola sebelum dimainkan di antara 170 g hingga 180 g untuk pemain lelaki dan 150 g hingga 160 g untuk pemain wanita.
4.3 Bola takraw boleh mempunyai satu warna, pelbagai warna dan warna yang terang tetapi tidak mempunyai warna yang boleh mengganggu prestasi pemain.
4.4 Bola takraw juga boleh diperbuat daripada getah sintetik atau pun bahan lembut tahan lama ( durable material ) bagi membaluti permukaan bola dan ianya tidak akan boleh mencederakan pemain. Pengeluar bola takraw ini hendaklah mendapat kelulusan daripada ISTAF sebelum dimainkan di mana – mana kejohanan antarabangsa.
4.5 Kejohanan antarabangsa yang mendapat restu ISTAF termasuk Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA hendaklah menggunakan bola takraw yang telah diluluskan oleh pihak ISTAF sahaja.
5. PEMAIN-PEMAIN
______________________________________________________________________________
5.1 Setiap perlawanan dimainkan oleh 2 regu yang mana setiap regu mempunyai 3 orang pemain.
5.2 Salah seorang daripada pemain hendaklah berada di belakang yang dinamakan “Tekong” (server).
5.3 Dua orang pemain lagi dinamakan ’Apit’ hendaklah berada di hadapan. Pemain di sebelah kiri dinamakan ’Apit Kiri’ manakala yang berada di sebelah kanan dinamakan ’Apit Kanan’.
3 - 14
Undang-Undang Permainan Sepaktakraw
Pindaan 18 September 2013.
5.4 Kejohanan Berpasukan
5.4.1 Pasukan hendaklah mempunyai tiga (3) Regu di mana bilangan pemain minimum sembilan (9) orang pemain dan maksimum duabelas (12) orang pemain.
5.4.2 Setiap pemain hendaklah didaftarkan untuk bermain di dalam perlawanan.
5.4.3 Maksimum tiga (3) pemain didaftarkan sebagai permain simpanan.
5.4.4 Seorang pemain cuma boleh bermain untuk satu Regu sahaja.
5.4.5 9 orang pemain mestilah berada di gelanggang semasa diperkenalkan.
5.4.6 Mana-mana pasukan yang pemainnya kurang daripada 9 orang, tidak dibenarkan bermain di kejohanan tersebut dan dianggap kalah.
5.5 Kejohanan Antara Regu
5.5.1 Setiap regu hendaklah mempunyai minimum 3 orang pemain dan maksimum 5 orang pemain (1 regu mempunyai 3 orang pemain dan 2 orang pemain simpanan ) yang ke semuanya mesti didaftarkan.
5.5.2 3 orang pemain mestilah berada di gelanggang semasa diperkenalkan.
5.5.3 Mana-mana regu yang pemainnya kurang daripada 3 orang, tidak dibenarkan bermain di kejohanan tersebut dan dianggap kalah.
6. PERALATAN / PAKAIAN PEMAIN
__________________________________________________________________
6.1 Semua pakaian pemain hendaklah bersesuaian dan menepati ciri-ciri kejohanan sepaktakraw. Mana-mana peralatan yang boleh menolong melajukan bola, meninggikan pemain atau mempercepatkan pergerakan pemain dan membahayakan pemain adalah dilarang sama sekali.
6.2 Pasukan yang bertanding hendaklah memakai warna jersi yang berlainan.
6.3 Setiap pasukan hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya dua set Jersi yang berlainan warna. Jika kedua-dua pasukan yang bertanding memakai warna jersi yang sama maka jersi pasukan tuan rumah hendaklah ditukar. Jika dari pasukan yang berlainan negara maka mana-mana negara yang dinamakan dahulu dalam pendaftaran hendaklah menukar jersi.
4 - 14
Undang-Undang Permainan Sepaktakraw
Pindaan 18 September 2013.
6.4 Pemain hendaklah memakai Jersi, seluar pendek, stoking, dan kasut sukan bertapak getah dan tidak bertumit. Pakaian adalah merupakan sebahagian daripada anggota badan. Jersi hendaklah dimasukkan ke dalam seluar.
6.5 Semua pakaian pemain hendaklah bernombor di bahagian depan dan belakang. Setiap pemain hendaklah memakai nombor jersi dari 1 hingga 36 yang sama untuk keseluruhan kejohanan.
6.6 Nombor hendaklah berukuran tidak kurang dari 19 cm tinggi di bahagian belakang dan berukuran tidak kurang 10 cm di bahagian depan di bahagian tengah dada.
6.7 Nama pemain atau negara yang diwakili hendaklah dicetak di belakang bahagian atas nombor pakaian dengan jelas.
6.8 Pakaian pemain boleh mempunyai logo penaja di bahagian hadapan pakaian pemain dimana haruslah mengikut peraturan pertandingan.
6.9 Logo atau lambang melainkan logo pengeluar pakaian tidak boleh diletakkan.
6.10 Ketua regu hendaklah memakai ‘Arm Band’ di mana warnanya hendaklah berbeza dengan warna jersi di lengan kiri.
6.11 Mana - mana pakaian yang tidak mempunyai spesifikasi yang dinyatakan di dalam Undang – Undang Permainan ini, hendaklah mendapat kelulusan daripada pihak Teknikal ISTAF terlebih dahulu.
7. GANTIAN PEMAIN
__________________________________________________________________
7.1 Mana-mana pemain tidak dibenarkan bermain dalam regu yang lain di dalam acara berpasukan.
7.2 Gantian pemain boleh dibenarkan pada bila-bila masa dengan menunjukkan kad nombor jersi pemain yang hendak keluar semasa bola tidak di dalam permainan.
7.3 Setiap Regu dibenarkan membuat 2 pertukaran pemain bagi setiap set. Pemain yang telah keluar dibenarkan masuk semula atau menggunakan pemain simpanan yang lain. Seorang (1) atau dua (2) orang pertukaran pemain boleh untuk acara Regu atau pun Berpasukan.
7.4 Dalam acara Regu, setiap regu boleh menamakan maksimum dua (2) orang pemain simpanan bagi setiap perlawanan di samping 3 pemain yang sedia ada.
5 - 14
Undang-Undang Permainan Sepaktakraw
Pindaan 18 September 2013.
7.5 Dalam acara Berpasukan, setiap pasukan boleh menamakan maksimum (3) tiga orang pemain simpanan bagi setiap perlawanan.
7.5.1 Setiap Pasukan dibenarkan mengguna dua (2) pemain simpanan daripada tiga (3) bagi satu regu.
7.5.2 Pemain simpanan yang telah bermain cuma boleh bermain pada regu tersebut sahaja.
7.5.3 Baki pemain simpanan cuma boleh bermain pada regu seterusnya.
7.5.4 Pasukan tersebut tidak dibenarkan membuat pertukaran pemain jika ketiga-tiga (3) pemain simpanan telah digunakan.
7.6 Jika Regu memulakan set dengan pemain yang berbeza dari set yang sebelumnya, maka dianggap pertukaran telah dilakukan untuk set yang baru.
7.7 Setiap regu dibenarkan membuat pertukaran pemain atas sebab kecederaan sekiranya kedua-dua pertukaran pemain belum dilakukan di dalam set tersebut. Jika kedua-dua pertukaran pemain telah dilakukan, maka perlawanan dihentikan dan regu ini dianggap kalah.
7.8 Mana-mana regu yang mempunyai kurang daripada 3 orang pemain tidak dibenarkan meneruskan perlawanan dan dianggap kalah.
7.9 Jika pemain diperintah keluar gelanggang (dikenakan kad merah) maka regu tersebut dibenarkan membuat pertukaran pemain sekiranya kedua-dua pertukaran masih belum dilakukan di dalam set tersebut. Jika kedua-dua pertukaran telah dilakukan dalam set tersebut, maka perlawanan akan ditamatkan dan regu pemain yang dikenakan kad merah dianggap kalah.
8. UNDIAN DAN WARM-UP
______________________________________________________________________________
8.1 Sebelum permainan dimulakan, Pengadil akan membuat undian dengan kehadiran kedua-dua ketua regu. Ketua regu yang memenangi undian akan memilih sama ada
(i) Sepak Mula atau
(ii) Petak gelanggang.
Regu yang kalah undian hendaklah memilih baki pilihan Regu yang menang undian. Kedua-dua Regu hendaklah mematuhi arahan Pengadil.
6 - 14
Undang-Undang Permainan Sepaktakraw
Pindaan 18 September 2013.
8.2 Regu yang memenangi undian akan memulakan ‘Warm-Up’ selama 2 minit dan diikuti oleh regu yang satu lagi. Hanya 3 orang pemain dan 2 yang lain sahaja yang dibenarkan bergerak bebas di dalam gelanggang dengan menggunakan bola rasmi.
9. KEDUDUKAN PEMAIN SEMASA SEPAK MULA
__________________________________________________________________
9.1 Apabila permainan hendak dimulakan, semua pemain mestilah berada dalam petak gelanggang masing-masing dalam keadaan bersedia.
9.2 Sebelah kaki Tekong hendaklah berada di dalam bulatan sepak mula sebelum Pengadil mengumumkan mata. Sebelah lagi kakinya mestilah berada di luar bulatan sepak mula untuk menyepak bola.
9.3 Kedua-dua apit bagi regu yang membuat sepak mula mestilah berada di dalam suku bulatan masing-masing.
9.4 Pemain regu lawan bebas berada di mana-mana kawasan di dalam petak gelanggangnya.
10. PERMULAAN PERMAINAN DAN SEPAK MULA.
______________________________________________________________________________
10.1 Setiap perlawanan dikendalikan oleh seorang Pengadil ( berada di salah satu hujung
Jaring ), seorang Pembantu Pengadil ( berada bertentangan dengan Pengadil ), seorang Pengadil Rasmi ( berada di belakang Pengadil ), seorang Pengadil Garisan dipenjuru belakang garisan gelanggang sebelah kanan Pengadil dan seorang lagi Pengadil Garisan di penjuru belakang garisan gelanggang sebelah kanan Pembantu Pengadil.
10.2 Pengadil akan dibantu oleh Pengadil Rasmi dan Pembantu pengadil.
10.3 Regu melakukan sepak mula ( servis ) akan melakukan tiga (3) kali sepakan berturut-turut dan disambung oleh pihak lawan tiga (3) sepakan berturut-turut.
10.4 Pertukaran sepak bergilir-gilir selepas tiga (3) mata, tanpa mengira mana-mana pihak yang mendapat mata.
10.5 Bola melurut dikira satu (1) sentuhan apabila menyentuh mana-mana bahagian badan pemain dari bawah leher dan melurut ke mana-mana bahagian badan yang dibenarkan dengan tidak disengajakan.
7 - 14
Undang-Undang Permainan Sepaktakraw
Pindaan 18 September 2013.
10.6 Pada mata dius ( bila kedua-dua regu pada mata 20-20 ) servis akan bertukar pada setiap mata.
10.7 Regu yang menerima servis akan melakukan servis pada set seterusnya.
10.8 Tukar petak sebelum memulakan setiap set.
10.9 Pada set ketiga, tukar petak apabila mana-mana regu mencapai mata 11.
10.10 Apabila Pengadil mengumumkan ’MATA, ( Nama Regu atau Negara )’ regu tersebut mempunyai 15 saat untuk bersedia bagi melakukan sepak mula seterusnya dengan sebelah kaki tekong berada didalam bulatan sepak mula. Sekiranya mana-mana regu melengah-lengahkan amaran lisan akan diberikan.
10.11 Mengelap peluh, mengelap (mop) gelanggang, membetulkan pakaian dan lain-lain tindakan hendaklah dilakukan dalam masa 15 saat.
10.12 Campakan hendaklah dilakukan oleh apit setelah Pengadil mengumumkan mata. Sekiranya apit membuat campakan sebelum Pengadil mengumumkan mata, maka campakan semula hendaklah dilakukan oleh apit dan amaran lisan akan diberi oleh Pengadil kepada pemain tersebut. Jika pemain masih melakukan kesalahan yang sama maka campakan itu dianggap batal.
10.13 Sebaik sahaja tekong melakukan sepak mula, semua pemain bebas bergerak di dalam gelanggang masing-masing.
10.14 Sepak mula diakui sah jika bola melepasi atas jaring sama ada menyentuh jaring atau pun tidak, melalui antara dua pita sempadan dan jatuh di dalam gelanggang pasukan lawan.
10.15 Dalam pertandingan sistem kalah singkir, regu ketiga tidak perlu bermain jika keputusan telah diperolehi.
10.16 Dalam pertandingan sistem liga, ketiga - tiga regu dalam pasukan hendaklah bermain.
11. PERKARA-PERKARA BATAL
______________________________________________________________________________
Perkara batal dilakukan apabila:-
11.1 Pihak Sepak Mula
11.1.1 Apit yang membuat campakan, memain - mainkan bola ( menghempas, mencampak, memberi bola kepada pemain lain dan lain - lain cara ) selepas pengadil mengumumkan mata.
8 - 14
Undang-Undang Permainan Sepaktakraw
Pindaan 18 September 2013.
11.1.2 Mana – mana Apit mengangkat kaki atau memijak garisan tengah atau melintasi atau menyentuh jaring semasa membuat campakan untuk sepak mula.
11.1.3 Tekong mengangkat kaki ( kaki yang tidak menyepak berada dalam bulatan sepak mula ) semasa melakukan sepak mula atau kaki terkeluar garisan bulatan sepak mula semasa melakukan sepak mula.
11.1.4 Tekong (server) tidak menyepak bola yang dicampak kepadanya.
11.1.5 Bola menyentuh pemain regunya terlebih dahulu sebelum melepasi ke gelanggang lawan.
11.1.6 Bola melintasi jaring tetapi jatuh di luar gelanggang.
11.1.7 Bola tidak melepasi gelanggang lawan.
11.1.8 Pemain menggunakan tangan atau lain - lain bahagian tangan semasa melakukan sepakan walaupun tangan tidak menyentuh bola tetapi menyentuh lain objek bagi membantu melakukannya.
11.1.9 Apit yang membuat campakan, mencampakkan bola sebelum Pengadil
mengumumkan mata buat kali kedua.
11.2 Pihak Sepak Mula Dan Penerima Sepak Mula.
11.2.1 Melakukan tingkah-laku yang boleh menganggu, membuat bising atau menengking pihak lawan.
11.3 Kedua-dua Pihak Semasa Permainan.
11.3.1 Mana-mana pemain menyentuh bola di kawasan pihak lawan.
11.3.2 Mana-mana bahagian anggota pemain memasuki kawasan gelanggang lawan sama ada di atas atau di bawah jaring kecuali semasa ‘follow –through’.
11.3.3 Memainkan bola melebihi tiga kali berturutan.
11.3.4 Bola menyentuh tangan.
9 - 14
Undang-Undang Permainan Sepaktakraw
Pindaan 18 September 2013.
11.3.5 Memberhentikan atau mengepit bola di bawah tangan / lengan antara kedua - dua paha / kaki atau badan.
11.3.6 Sebarang anggota atau peralatan pemain seperti kasut, jersi, pelilit kepala dan lain-lain menyentuh jaring, tiang, kerusi pengadil atau jatuh ke kawasan gelanggang lawan.
11.3.7 Bola terkena siling, bumbung, dinding atau lain-lain benda.
11.3.8 Mana - mana pemain memegang atau menyentuh objek bagi membantu melakukan sepakan.
12. SISTEM KIRAAN MATA
______________________________________________________________________________
12.1 Apabila perkara batal dilakukan oleh pihak sepak mula atau penerima sepak mula, satu mata akan diberi kepada pihak lawan.
12.2 Setiap set dimenangi oleh regu yang mendapat mata dua puluh satu (21) dengan kelebihan minimum dua (2) mata.
12.3 Bila regu terikat mata 20-20, set tersebut dimenangi apabila mana-mana regu mendapat kelebihan dua (2) mata atau mana-mana regu mencapai mata dua puluh lima (25) ( yang mana dahulu ) dalam keadaan ini Pengadil akan mengumumkan ”Lanjutan ke mata 25”
12.5 Setiap perlawanan dijalankan dalam 3 set ( best of 3 ) dengan dua minit rehat antaranya. Set akan dikenali dengan set pertama, kedua dan ketiga. Mana-mana regu yang menang 2 set akan dikira sebagai pemenang.
13. REHAT (TIME-OUT)
______________________________________________________________________________
13.1 Setiap Regu berhak meminta satu minit rehat ( time out ) sekali untuk setiap set.
13.2 Rehat boleh diminta oleh Pengurus Pasukan atau Jurulatih semasa bola tidak berada dalam permainan.
13.3 Cuma dua (2) orang yang berlainan pakaian daripada pemain yang ada dibenarkan berada di belakang garisan gelanggang semasa rehat.
10 - 14
Undang-Undang Permainan Sepaktakraw
Pindaan 18 September 2013.
14. PERMAINAN TERGENDALA
______________________________________________________________________________
14.1 Pengadil boleh memberhentikan permainan jika berlaku halangan, gangguan atau pemain tercedera dan memerlukan rawatan segera tidak melebihi 5 minit untuk setiap regu.
14.2 Pemain yang tercedera dibenarkan menggunakan masa selamat 5 minit untuk waktu kecederaan. Jika selepas 5 minit, pemain tidak berupaya bermain, maka gantian pemain mestilah dibuat. Jika regu ini telah membuat kedua-dua pertukaran pemain maka regu lawan akan dikira sebagai pemenang. Waktu kecederaan hendaklah tidak melebihi 5 minit.
14.3 Cuma Pengadil Rasmi sahaja boleh memberhentikan perlawanan apabila berlaku gangguan atau halangan dengan kebenaran Jawatankuasa Pertandingan.
14.4 Semasa tempoh permainan diberhentikan, semua pemain tidak dibenarkan keluar dari gelanggang kecuali dengan kebenaran Pengadil Rasmi.
15. TATATERTIB ( DISIPLIN)
______________________________________________________________________________
15.1 Semua pemain mestilah mematuhi Undang -Undang Permainan.
15.2 Hanya Ketua Regu sahaja dibenarkan berjumpa Pengadil jika ada sebarang pertanyaan atau inginkan kepastian mengenai keputusan yang dibuat dan Pengadil hendaklah memberi penerangan terhadap keputusan yang telah dibuatnya.
15.3 Pengurus / Jurulatih Rasmi dan Pegawai dilarang membantah keputusan Pengadil semasa pertandingan sedang berjalan. Ini boleh menjejaskan kelancaran pertandingan. Tindakan disiplin boleh diambil terhadap pegawai berkenaan.
16. HUKUMAN
__________________________________________________________________
Kesalahan dan perbuatan akan dikenakan hukuman seperti berikut:
Hukuman Disiplin -
11 - 14
Undang-Undang Permainan Sepaktakraw
Pindaan 18 September 2013.
16.1 KAD KUNING
Pemain dikenakan Kad Kuning apabila melakukan kesalahan berikut:-
16.1.1 Tidak menunjukkan semangat kesukanan dan melakukan perkara- perkara yang bertentangan dengan etika sukan yang boleh menjejaskan keseluruhan pertandingan.
16.1.2 Mengeluarkan kata - kata kesat atau dengan perbuatan kepada pegawai pertandingan.
16.1.3 Berulang kali melanggar Undang - Undang Permainan dan Peraturan pertandingan.
16.1.4 Melambat-lambatkan permainan.
16.1.5 Masuk dan keluar gelanggang tanpa kebenaran Pengadil.
16.2 KAD MERAH
Kesalahan-kesalahan yang perlu dihukum, di mana pemain boleh diberi ‘kad merah’ jika melakukan kesalahan berikut:-
16.2.1 Bermain dengan merbahaya.
16.2.2 Berkelakuan ganas dengan niat untuk mencederakan pihak lawan.
16.2.3 Meludah kepada pihak lawan, pegawai atau penonton.
16.2.4 Memaki dan mengeluarkan kata-kata kesat atau dengan isyarat.
16.2.5 Menerima Kad Kuning yang kedua dalam perlawanan yang sama.
16.3 Tindakan disiplin perlu diterima oleh semua pihak bagi mana – mana pemain yang melakukan kesalahan sama ada di dalam atau di luar gelanggang terhadap pihak lawan, pemain, Pengadil, Pembantu Pengadil atau sesiapa sahaja dimana Kad Kuning telah dikeluarkan dan hukuman seterusnya akan diambil,
12 - 14
Undang-Undang Permainan Sepaktakraw
Pindaan 18 September 2013.
16.3.1 Kesalahan :
Kad Kuning Pertama
Hukuman :
- Amaran biasa
16.3.2 Kesalahan :
Kad Kuning Kedua diterima oleh pemain dalam perlawanan yang lain tetapi didalam kejohanan yang sama.
Hukuman :
- Digantung satu perlawanan
16.3.3 Kesalahan :
Kad Kuning Ketiga diterima setelah digantung satu perlawanan di kejohanan yang sama.
Hukuman : - Digantung 2 perlawanan.
- Denda US $100 ( dibayar oleh Persatuan / Kelab yang diwakili )
16.3.4 Kesalahan :
Kad Kuning Keempat diterima setelah digantung dua perlawanan di
kejohanan yang sama.
Hukuman :
- Digantung serta-merta dari bermain perlawanan seterusnya sehingga lembaga disiplin membuat keputusan.
16.3.5 Kesalahan :
Pemain menerima 2 Kad Kuning dalam perlawanan yang sama.
Hukuman :
- Digantung dua perlawanan.
- Denda US $100 ( dibayar oleh Persatuan/kelab yang diwakili )
- Diberi Kad Merah di atas kesalahan disiplin ketiga dalam mana-
mana perlawanan di kejohanan yang sama.
16.4 Kad Merah
16.4.1 Kad merah dikeluarkan kepada pemain yang diperintah keluar gelanggang bagi kesalahan di para 16.2 sama ada di dalam atau di luar gelanggang terhadap pihak lawan, rakan sepasukan, pegawai pertandingan atau mana-mana orang semasa pertandingan.
13 - 14
Undang-Undang Permainan Sepaktakraw
Pindaan 18 September 2013.
16.4.2 Hukuman kepada pemain yang diperintah keluar gelanggang adalah di gantung serta merta daripada bermain dalam mana – mana perlawanan sehingga Lembaga Disiplin membuat keputusan.
17. KELAKUAN BURUK OLEH PEGAWAI-PEGAWAI PASUKAN
______________________________________________________________________________
17.1 Tindakan perlu diambil terhadap Pegawai - Pegawai Pasukan yang berkelakuan buruk atau menimbulkan kekacauan semasa kejohanan dijalankan sama ada di dalam atau di luar gelanggang.
17.2 Mana - mana pegawai yang berkelakuan buruk dan menganggu kelancaran pertandingan akan diiringi keluar oleh Pegawai Pertandingan dari gelanggang perlawanan. Pengadil akan memberhentikan pertandingan serta - merta sehingga Pegawai Pertandingan atau Lembaga Disiplin Persatuan Sepaktakraw memberi isyarat meneruskan pertandingan.
17.3 Pegawai pasukan melakukan kesalahan disiplin hendaklah dikenakan tindakan seperti undang-undang di Para 16.4.
18. UMUM
__________________________________________________________
18.1 Jika berlaku pertelingkahan terhadap mana-mana perkara yang tidak termasuk di dalam Undang-Undang Permainan ini, keputusan Pengadil Rasmi adalah muktamad.
PINDAAN DILULUSKAN
Pindaan Undang-undang Permainan ini telah diluluskan semasa Kongres International Sepaktakraw Federation (ISTAF) pada 18 September 2013 di Udonthani, Thailand.
14 - 14
Jumaat, 5 Februari 2016
KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG SMK YONG PENG KE-52
KEJOHANAN SEPAK TAKRAW PIALA PSNJ 2016
Kejohanan Sepak Takraw Antara Regu Tertutup Johor bagi merebut Piala PSNJ telah dijalankan pada 23 hingga 24 Janiari 2016 di Stadium Tertutup Pasir Gudang. Kejohanan ini dirasmikan oleh Datuk A. Halim Sulaiman, Presiden Persekutuan Sepaktakraw Negeri Johor.
Kejohanan ini diadakan bagi memilih pemain-pemain bagi mewakili negeri Johor dalam Kejohanan Piala Emas Khir Johari dan bagi mewakili Johor ke SUKMA 2016 di Sarawak.
Kejohanan ini diadakan bagi memilih pemain-pemain bagi mewakili negeri Johor dalam Kejohanan Piala Emas Khir Johari dan bagi mewakili Johor ke SUKMA 2016 di Sarawak.
Barisan Pengadil
Langgan:
Catatan (Atom)